Dia yang datang dan pergi

by queen_q_minz
Tags   drama   friendship   originalcharacter   malay   malaysia   | Report Content

A A A A

NADIANA

::05::

 

“Kejap kejap, ulang balik apa kau cakap tadi?” Diana meminta Nadia mengulangi apa yang dia katakan tadi, Diana langsung tidak faham apa yang Nadia sampaikan sejak lima minit lalu yang Diana rasa Nadia merapu sahaja. Otaknya sudah pusing.

“Oh, awak panggil saya ‘kau’. Okey, saya suka, baru rasa macam rapat kan? Saya pun akan tukar.” Nadia dengan terujanya memberi komen, dia tahu mereka sama-sama lahir tahun yang sama. Semalam ketika mereka di dalam kereta masing-masing sudah bertanya mengenai umur, sama-sama 24 tahun. Jadi tak salah kalau cuma ber-aku-kau sahaja kan?

Kata-katanya tidak mendapat respon dari Diana, terus Nadia menyambung,

“Aku sebenarnya nak cari rumah sewa. Memandangkan kau duduk sorang-sorang kat sini, apa kata kau sewakan salah satu bilik kat sini untuk aku. Selain dapat duit, kau juga dapat teman berbual. Dan lebih selamat kalau ada kawan dari duduk sorang-sorang, buatnya kau sakit tengah malam siapa nak tolong? Kalau ada orang cuba nak rompak, tak ke menakutkan kalau kau sorang-sorang, jadi… aku kat sini boleh selesaikan masalah kau.” Bukan main lagi Nadia berkempen supaya Diana menerimanya sebagai penyewa di rumah ini. Mulut dia bak bertih jagung, laju sahaja kata-kata bernas keluar dari bibir munggilnya itu. Dari cara dia bercakap, seumpama mereka ini sudah bersahabat lama.

Diana diam sebentar, mencerna baik-baik penerangan Nadia sekali lagi.

“Dah setahun aku duduk rumah ni tak ada masalah pun.” Balas Diana, sama sekali tidak bersetuju dengan kata-kata Nadia. Memang tak pernah pula dia sakit tengah malam, tak pernah juga dia kena rompak. Dan nak kata dia bosan berseorangan tak juga kerana dia sudah biasa seorang, tak ada masalah.

“Malang tak berbau Diana, tengok je macam mana kau kemalangan semalam. Jalan yang kau guna hari-hari tu juga kau kena langgar, kat rumah pun belum tentu selamat.” Nadia mengingatkan Diana. Bukan main lagi memujuk, sekarang segan malu kekok semua ditolak tepi. Dia memang sedang desperate mencari tempat berlindung.

“Tapi kau yang langgar aku semalam.” Diana pula mengingatkan Nadia kembali sambil tunjuk muka bosan. Terus Nadia menarik muka sedih. Dianalah satu-satunya harapannya, walaupun baru kenal tapi dia pasti Diana seorang yang baik. Dia tahu, ini idea gila tetapi bukan mudah nak cari rumah segera tambahan pula Nadia bukan jenis ramai kawan yang boleh minta tolong carikan mahupun tumpangkan buat sementara.

“Ini bukan rumah akulah Nadia, ini rumah kakak aku. Dia ikut suami dia kerja luar negara, jadi dia amanahkan aku untuk jaga rumah dia. Aku tak boleh buat keputusan sendiri.” Diana beralasan. Walaupun Nadia tidak nampak seperti orang jahat, namun tetap mencurigakan. Iyalah, mereka kan baru kenal petang semalam, tiba-tiba sahaja hari muncul di rumahnya.

“Aku bukannya nak duduk free. Ingat Diana, kau baru je kena pecat, kalau ada aku boleh la juga kau makan duit sewa aku tu sementara nak cari kerja lain.” Nadia mengeluarkan idea bernasnya.

‘Eh, macam betul pulak budak Nadia ni cakap.’ Hati Diana berbisik, tetapi dia mengawal riak supaya tidak menunjukkan yang dia sudah mula terpengaruh. Nadia melihat Diana tidak memberi respon dengan apa yang dia katakan, tangannya terus menyeluk ke dalam begnya lalu dia keluarkan wang yang baru dia ambil dari ATM. Mengumpan Diana supaya menerima dirinya yang terdesak ini.

“Seribu, sebulan aku bayar tiga ratus boleh? Deposit tiga bulan dengan api air; seratus?” Kata Nadia sebaik sahaja wang itu diletakkan di atas meja kopi, pandai-pandai sahaja dia meletakkan sewa bilik. Semalam dia sudah menelefon rakan tempat kerjanya bertanyakan mengenai rumah sewa, berapa selalunya yang perlu dibayar, berapa deposit dan sebagainya.

Diana menjeling wang yang sememangnya tebal itu, memang menggoda tapi.. dia masih ragu-ragu.

“Aku mungkin kehilangan kerja tapi aku belum papa kedana lagi tau. Duit simpanan aku ada lagi.” Balas Diana. Akhirnya Nadia mati akal, jalan terakhir yang dia ada cuma; merayu.

Nadia bangun dari sofa lalu mendekati Diana yang duduk di sofa bertentangan. Terus gadis itu bersimpuh di kaki Diana, tangannya memeluk kaki Diana.

“Ala… Diana. Tolonglah aku, aku dah tak ada tempat lain nak pergi ni. Tolonglah…” Pujuk  Nadia bersungguh-sungguh.

“Tolonglah, tolonglah aku… tolonglah.” Ulang Nadia berkali-kali bak jampi serapah pula dibuatnya. Diana cuba menarik kakinya dari pelukan erat Nadia tetapi gagal, tidak selesa diperlakukan begitu akhirnya dia bersetuju sahaja separuh rela.

“Okey okey. Aku bagi kau tinggal sini sementara kau cari rumah lain. Tapi nak tinggal sini kena ikut cara aku. Semua peraturan aku, kau kena ikut.”

Roger.

:::

 

Setelah membuat keputusan untuk membenarkan Nadia tinggal di sini buat seketika, Diana membawa Nadia ke tingkat dua dan menunjukkan biliknya. Mujur ada sebuah bilik kosong, siap berperabut lagi kerana rumah ini sudah lengkap berperabut dan bila kakak Diana terpaksa mengikut suami ke luar negara, dia minta Diana tinggal di sini dan menjaga rumahnya.

“Kau boleh duduk kat bilik ni, yang sebelah ni bilik aku. Bilik depan memang aku biar kosong, aku sendiri pun jarang masuk bilik depan tu, bilik kakak aku. Peraturan nombor satu, jangan masuk bilik kakak aku.” Pesan Diana, Nadia terangguk-angguk faham. Tak kisah bagaimana pun syarat yang bakal diletakkan Diana, asalkan dia ada tempat untuk berteduh. Kalau dah terdesak tu jangan banyak songeh, bersyukur saja ada manusia yang sudi bantu seseorang yang baru kenal tak sampai 24 jam pun lagi.

“Kau kemaslah dulu barang kau. Ada apa-apa, aku ada kat bawah.” Kata Diana, kemudian dia turun ke bawah. Mahu menghubungi kakaknya segera, ingin memaklumkan mengenai penyewa baharu ini.

Nadia pula baru menjenguk bilik kecil yang bakal menjadi tempat dia berehat dan tidur, ‘rumah’ barunya. Walaupun sangat kecil dan berbeza dengan biliknya sebelum ini, yang besar dan mewah tetapi dia berasa tenang dan cukup selesa. Nadia duduk di atas katil bujang yang terletak dihujung bilik, mujur ada juga katil. Nadia perhatikan sekeliling, tidaklah teruk mana, ada katil, ada almari walaupun kecil dan ceria sahaja warnanya. Pasti bilik ini disediakan untuk si cilik, nasib katilnya saiz standard katil bujang kalau tidak tidur di lantailah jawabnya.

Nadia bangkit semua lalu bergerak ke almari, pintu almari dibuka. Dia tersenyum, almari merah jambu itu kosong, bolehlah dia simpan barang-barangnya di dalam almari kecil ini. Tiga ratus terlalu murah untuk sewa sebuah bilik selesa ini, sedangkan harga bilik di flat buruk tidak berperabut pun ada lebih mahal dari sewa yang Nadia (dan Diana) sudah setuju. Apa pun kenalah dia terima, inilah gayanya kalau hidup di kota. Semuanya mahal.

Nadia duduk bersimpuh di hadapan almari yang terbuka itu, dia menarik beg baju yang dibawanya tadi. Perlahan-lahan tangannya mengeluarkan isi di dalam beg itu, satu-satu pakaiannya di simpan di dalam almari itu. Hatinya serta merta dipagut rasa sedih, inilah dirinya enam tahun lalu. Apa yang dia ada cuma beg yang terisi baju kurung, tshirt murah, dan seluar trek. Semuanya nampak agak lusuh kerana sudah lama, mujur semuanya masih baik. Satu-satunya baju yang cantik lagi adalah baju pemberian Alan semalam, baju itu Nadia gantung kemas dalam almarinya.

“Kau aje yang bersinar dan cantik, aku nak jadi cantik macam kau juga.” Kata Nadia sambil mengelus fabrik baju itu. Siap mengemas pakaian-pakaiannya, Nadia bergerak ke katil lalu dia duduk di situ. Semalam sebaik sahaja dia pulang ke rumah, dia terus membersihkan ke semua baju-bajunya yang ada di dalam beg buruk ini, termasuklah baju yang Alan beri. Tujuannya hanya satu, ingin lari dari rumah lama dan tinggalkan segala yang dia dapat dari Ezuan. Sekarang mereka sudah tidak ada apa-apa hubungan mana mungkin dia tinggal di rumah Ezuan, memakai baju-baju yang dibeli Ezuan, kosmetik yang dihadiahi lelaki itu? Nadia sudah tak layak untuk semua itu, oleh itu dia nekad meninggalkan apartment Ezuan.

“Kau tengah buat apa Ezuan? Waktu macam ni kau balik rumah kan?” Luah bibir Nadia sambil merenung kosong jam di dinding yang menunjukkan pukul sebelas.

:::

 

“Nadia.” Panggil Ezuan sambil mencampakkan kunci ke dalam bakul menyimpan kunci. Dia tercari-cari kelibat teman wanitanya. Walaupun sebenarnya Nadia sudah memutuskan hubungan mereka tetapi dia tetap menafikannya, Ezuan memujuk hatinya sendiri; ‘mungkin Nadia menggertak sahaja’. Nadia tidak ada tempat untuk lari, dia sebatang kara. Mana mungkin dia pergi dari sisi Ezuan jika itu satu-satunya tempat untuk dia mengadu, satu-satunya tempat dia bergantung, satu-satunya insan yang masih sayangkan Nadia.

“Nadia?” Seru Ezuan lagi sekali. Dia mula dilanda resah, biar benar… Nadia tak mungkin tinggalkan rumah ni, mana dia nak tinggal kalau bukan kat sini?

Selalunya bila dia pulang ke apartment ini tiap sabtu pada waktu begini, aroma masakan yang enak terus sahaja menyapa deria hidunya sebaik sahaja dia membuka pintu rumah. Nadia sedang memasak diwaktu-waktu begini, tiap-tiap minggu melainkan Ezuan berpesan untuk tidak memasak kerana mereka akan keluar makan diluar, tetapi itu jarang sangat berlaku kerana Ezuan suka makanan air tangan Nadia. Sudah enam tahun dia kenyang dengan masakan Nadia, tetapi hari ini deria mata, hidung dan telinganya langsung tidak dapat menangkap tanda-tanda yang Nadia berada di dapur. Dapur itu kosong dan sunyi.

Ezuan terus ke bilik Nadia, tanpa mengetuk dia menguak pintu itu. Kosong. Bilik itu kemas, namun kelibat yang dicari tidak berada di situ. Ezuan makin resah, dia mula menjelajah seluruh rumah mencari Nadia namun hampa. Barang-barang yang ada di dalam rumah itu tidak berusik, semuanya berada di tempat yang sepatutnya ia berada.

‘Dia keluar kut.’ Ezuan menyedapkan hati. Dia berbaring di katil Nadia, bau gadis manis itu masih tertinggal di situ. Pasti semalam dia masih di sini. Ezuan menarik telefon bimbitnya lalu mendail nombor telefon Nadia, dengan sabar dia menanti panggilannya diangkat. Selang beberapa saat kedengaran bunyi telefon Nadia berbunyi, terus Ezuan bangkit dan bergerak ke arah bunyi itu datang.

Ezuan berkerut dahi melihat telefon bimbit itu di atas meja solek. Panggilan itu di matikan, Ezuan memadang ke arah meja solek itu. Telefon bimbit Nadia ditinggalkan, tas tangan dan kunci keretanya juga ada di atas meja solek, alat-alat mekap Nadia semuanya masih kekal di situ. Hmm… tak kan keluar rumah tinggal telefon bimbit, tak bawa kereta? Minda Ezuan berkata-kata, dirinya masih tidak mahu menerima kemungkinan yang Nadia sudah tinggalkan rumah ini yang di diaminya selama enam tahun. Tak mungkin.

Ezuan menghampiri almari, tangannya segera membukanya, dia menarik nafas lega melihat pakaian-pakaian Nadia masih ditempatnya. Nadia tidak lari dari rumah, dia pasti keluar bersiar-siar di kawasan berdekatan apartment. Bagasi juga masih tersusun cantik di bahagian bawah almari besar itu, mana mungkin Nadia lari. Ezuan tergelak kecil memikirkan dirinya yang terlalu cepat panik, Nadia tidak akan tinggalkan rumah ini.

Namun tawa itu mati bila terlihat ada ruang kosong di sebelah beg bagasi di dalam almari itu, di situ tempat Nadia menyimpan… beg pakaian lamanya. Yang dia masih simpan walaupun sudah enam tahun berlalu sejak kejadian Nadia dihalau keluar dari rumahnya. Waktu Ezuan mengutip Nadia yang tidak ada tempat untuk dituju. Beg buruk yang Nadia tidak benarkan Ezuan buang walaupun sudah banyak kali Ezuan menyuruhnya buang sahaja barang yang membawa kenangan silam yang menyakitkan ke minda gadis itu. Beg itu…

 

.

.

.

 

 

sudah tiada.

“Jadi kau betul-betul tinggalkan aku, Nadia?”

Ezuan bercakap sendiri, soalannya tidak disahut sesiapa.

 

::::

~bersambung~

an: maaf, dah lama tak update cerita ni. hehe.. mana boleh bagi selalu2.. saya tak siap tulis lagi ni.. karang lambat sangat korang tunggu novel ni diterbitkan.. *kalau ada rezeki, insya-Allah* 

saya secara jujurnya langsung tak tulis apa pun lepas pesta buku hari tu, sebab kalut sangat membaca novel2 baru beli ni.. kalau tak baca sekarang bila lagi? saya nak habis kan cepat2, biar tenang jiwa dan boleh sambung menulis semula. 

 

macam mana dengan bab kali ni? okey tak? rasanya anda sudah semakin mengenali Nadia.

apa-apa pun, sila tinggalkan komen ya...

 

much much much love 

~q~

 

Comments

Comments are moderated. Keep it cool. Critical is fine, but if you're rude to one another (or to us), we'll delete your stuff. Have fun and thanks for joining the conversation!

You must be logged in to comment.

Bihurrunain  on says about chapter 6:
Q... Hahaha. Lama tak dengar fasal Alan... Cerita fasal Alan pula...

eifa_arey  on says about chapter 6:
Panas punggung ler Ezuan. Lawan nadia, jgn x lwn eh! X selamanya duk bwh telunjuk Ezuan tu.

Bihurrunain  on says about chapter 4:
Nadia teman diana.....

Bihurrunain  on says about chapter 3:
Helo.... Mana Q ni. Ketuk pintu tak ada orang pun.... Heehehe. Mesti sibuk kat pbakl ni...

Bihurrunain  on says about chapter 3:
Haa... macam tu la nadia. Tinggalkan ezuan tu... wah... rancakkan menulis q...

eifa_arey  on says about chapter 3:
Bagus Nadia. Kumbang bukan sekor jer. Alan..Alan

Bihurrunain  on says about chapter 2:
Ba nak cakap.... Ezuan tu pakwe nadia ke? Sekali baca kat hujung... Mmg pun!!!
Helo nadia... Kenapa kalau dia dah macam tu.... Awak still nak kat ezuan ni.... Heee...
Q,
Hope Alan tu ada watak yang istimewa kat Nadia... Hahaha.ru

Bihurrunain  on says about chapter 1:
Siapalah lelaki tu. Ewah, nadia. Ada orang payungkan untuk kau... hehehe^___^

eifa_arey  on says about chapter 2:
Lagi... lagi... lagi....

eifa_arey  on says about chapter 1:
Menarik..menarik. ...buat hati meronta nak tau kisah selanjutnya.

Log in to view all comments and replies


^ Back to Top