On The Line

by ryalanidthoniel
Tags   originalcharacter   tokiohotel   bahasamelayu   | Report Content

A A A A

Lilika memasuki kereta. Sadeeki sudah berada di tempat pemandu, dan Amin berada dengan selesanya di bahagian belakang. Lilika mengambil tempat di sebelah kiri. Berada di belakang Sadeeki.

“Macam mana?”Lilika tersengih. Dia mengangkat kedua-dua ibu jari tangannya.

“Bagus,”Sadeeki memuji.

“Apa yang dia tanya?”

“Pasal skydiving tulah,”Lilika mengeluarkan BlackBerry, masih tiada apa-apa, tetapi dia bersedia untuk terus menunggu. Lagipun, dia yang memberikan nombor telefon, dan bukannya mana-mana antara empat orang itu. Pasti mereka yang akan mencarinya nanti. Jika mahulah.

Lilika terasa wajahnya panas, apabila teringatkan tatapan Bill. Dia tahu pandangan itu. Pandangan seorang yang kagum dengan seorang yang lain. Dia tidak tahu kenapa, tetapi, rasanya mungkin juga Bill kagum dengannya kerana dia telah melakukan satu aktiviti ekstrem yang memang mahu dilakukannya, tetapi tidak boleh kerana dihalang oleh abangnya.

Lilika pernah merasa begitu, walaupun sudah lama dahulu, tetapi boleh dikira juga, kan? Ketika dia kecil, dan masih lagi orang baru di Rosbiru, dia biasa dilarang oleh kakak-kakak atau abang-abang penjaga untuk melakukan sesuatu. Pada awal dia mempelajari bagaimana hendak menggunakan kasut roda juga, ada seorang kakak penjaga Rosbiru, namanya Kak Aziah, garang orangnya, melarangnya bermain di tempat berbatu. Tetapi, akhirnya Kak Aziah jugalah yang menyapukan ubat dan membalut lututnya apabila dia terjatuh di tempat larangan itu. Penat jugalah Lilika menadah telinga mendengar segala leteran itu, nasib baiklah ketika itu dia sendiri sedang sibuk menangis.

Dia teringat juga ketika dia dilarang Kak Aziah untuk keluar bersendirian di bandar tanpa teman, namun biasalah Lilika seorang yang degil, hanya mengikut kepalanya sahaja. Akhirnya, Lilika terkandas di stesen bas yang menakutkan, dan sekali lagi Kak Aziah yang menyelamatkannya. Kak Aziah datang bersendirian dengan basikal merahnya. Mujurlah Kak Aziah datang tepat pada masanya. Selepas itu, mereka berdua dimarahi seteruk-teruknya oleh penjaga Rosbiru. Kedua-duanya kerana keluar ke bandar seorang.

“Mereka nampak macam baik,”Amin memberikan komen. Lilika mengangguk pantas. “Mereka tak ambil kesempatan?”Lilika menggelengkan kepalanya.

“Diorang nak tanya pasal skydiving je,”Lilika memeriksa kuku jari tangannya, walaupun sebenarnya tidak ada apa-apa yang tidak kena dengannya. “Rasanyalah, sebab apa yang diorang tanya pun pasal benda-benda tu,”

“Kamu ceritalah?”

“Yelah, nak cakap pasal apa lagi?”Amin tersenyum.

“Takda apa-apa,”Lilika perasan sesuatu pada senyuman nakal itu. Lantas, Lilika mencubit lengan lelaki tua itu.

“Pakcik ni, janganlah fikir bukan-bukan, diorang taknak ngorat sayalah, tak cantik pun!”Lilika perasan Sadeeki turut ketawa bersama. Akhirnya dia turut sama ketawa.

Lama kereta itu diselubungi sunyi sebelum Lilika memecahnya semula.

“Bill mintak nombor telefon saya,”

“Em..tanda yang bagus,”Sadeeki menjawab dari tempat pemandu. Dia membelok, jalan untuk masuk ke dalam hotel mereka.

“Tapi, saya rasa..saya dah buat salahlah, Sadeeki,”

“Kenapa?”

“Saya rasa Tom marah dengan saya,”

“Kenapa dia nak marah dengan awak? Sebab awak suka dia,”Lilika tergelak.

“Bukanlah!”Lilika menampar tempat duduk Sadeeki dengan kuat. Sadeeki terpaksa bergerak sedikit, apabila dia merasakan momentum yang diberikan Lilika. “Saya rasa dia marah, sebab saya nak pengaruhi Bill untuk buat skydiving,”

“Itu pilihan Bill, kenapa pulak dia nak marah dengan awak?”

“Kan saya dah kata tadi, saya pengaruhi Bill untuk buat,”

“Oh,”

“Sadeeki, jangan bagi ‘oh’ je, saya tak tahulah sama ada Tom marah dengan saya atau tak,”

“Taklah,”Lilika menoleh apabila Amin bersuara. “Dia takkan marah dengan awak, macam Sadeeki cakap tadi, kenapa dia nak marah dengan awak, awak tak buat salah, awak pengaruhi adik dia, bukan dia,”

“Sebab Tom taknak buat benda tu, tapi Bill nak, jadi bila saya pengaruhi Bill, macam saya menghasut Bill buat benda yang tak eloklah,”

“Skydiving tu benda tak elok ke?”giliran Sadeeki.

“Tak,”Lilika menelan liur. Bagaimana dia hendak menyusun ayat supaya dia dapat menjelaskan maksudnya kepada dua orang lelaki ini? “Benda tu elok, tapi bila perkara tu diketahui oleh orang yang salah, dia akan jadi suatu benda yang tak sepatutnya,”

“Benda yang tak sepatutnya...”Sadeeki mengulang ayat itu kembali. Lilika menggigit bibir bawahnya.

“Macam skydiving ni, Bill suka, tapi, Tom tak suka, dan benda tu jadi benda yang baik untuk Bill dan bukan benda yang baik buat Tom, faham?”Sadeeki dan Amin diam. Lilika memandang kedua-dua mereka bergilir-gilir. “Okey, tak faham dah, tapi, apa yang saya cakap memang ada point,”Lilika bersandar. Masih lagi tiada apa-apa mesej di dalam BlackBerrynya. Dia mengeluh perlahan, cukup untuk didengarinya sahaja. Apa yang kedengaran kuat sekarang hanyalah bunyi enjin kereta Mercedes yang dipandu Sadeeki. Lilika menopang dagu, melemparkan seluruh pandangannya terus ke luar.

Dia masih teringatkan pandangan mata Tom padanya. Mata itu kelihatan dalam, dan penuh dengan perasaan. Perasaan apa? Lilika tidak mahu meneka-neka. Dia takut dia benar. Dia takut apa yang dikhuatirinya berlaku. Dia masih belum bersedia untuk menghadapi kemungkinan yang bintang rock paling diminatinya membencinya.

Dia menutup mata.

 

“Lily,”Lilika membuka matanya. Tidak sedar yang dia tertidur ketika tujuan sebenarnya hendak menutup mata adalah merehatkannya. Dia segera mengangkat kepala. Melihat sekeliling. Sememangnya dia telah sampai di luar hotel yang diinapnya. Dia membuka pintu, tidak menunggu Sadeeki untuk membukanya. Dia melangkah keluar. Beg galasnya disandang sebelah, di bahu kanan.

Dia berjalan membuntuti Amin yang sudah berjalan lebih jauh ke hadapan. Dia terkocoh-kocoh mengikut, matanya masih lagi kelihatan kabur, mungkin kerana dia terlalu penat. Dia memberikan sebuah senyuman pada pengawal keselamatan yang memakai pakaian seragam biru laut, dan juga seorang penjaga pintu di situ. Mereka berdua tersenyum kembali kepadanya.

Sesampai di hotel, dia terus menjatuhkan badannya ke atas katil. Badannya terasa penat sangat. Dia masih dapat mengingati setiap saat dia terjun sehinggalah dia sampai ke tanah semula. Ketika dia berpijak pada bumi nyata. Dia mengingat segala-galanya yang berlaku ketika dia mengambil tangan Tom, dan berjalan beriringan dengannya. Dia mengingati peristiwa di dalam restoran, dan dia tidak dapat melupakan lagi pandangan Tom terhadapnya.

Perkara itu yang membuatkan matanya terbuka luas. Dia tidak terasa mahu tidur lagi. Badannya tiba-tiba bertenaga. Tetapi, dia buntu.

Salah ke bergaul dengan adik lelaki dia?

Tiba-tiba Lilika teringatkan segala cerita yang dibacanya di dalam Internet tentang Tokio Hotel. Biasanya ada banyak cerita tentang Tom dan Bill, tetapi, semuanya adalah fiksyen yang ditulis para peminat sahaja. Tidak ada apa-apa yang benar pun, jika ada pun, mungkin sahaja kebetulan.

Lilika menelan liur.

Tak mungkin diorang gay. Tak mungkin. Diorang hanyalah adik-beradik yang sangat suka menunjukkan kasih sayang kepada ahli keluarga sendiri. Tidak ada hubungan yang lebih kompleks daripada itu.

Dia cuba berfikiran positif. Masih berfikiran positif kerana hasratnya untuk menunaikan impiannya yang ada tertulis di atas kertas itu masih perlu dilaksanakan.

Berpacaran dengan bintang rock, Tom Kaulitz.

Ya. Itu tujuan kita berada di sini, kawan-kawan.

Dia sedang bercakap dengan barang-barang yang berada di atas katilnya, barang-barang yang telah dilonggokkan di atas itu daripada perut beg galasnya. Tidak ramai yang tahu apa yang dibawanya sepanjang masa.

Ada Tom, anak patung koala yang didapatkan Sadeeki untuknya. Sebuah diari yang dihadiahkan rakan karibnya, Aliyah, pen biru dan hitam Staedtler, dan pensel mekanikal yang dibelinya di pasar malam, semasa dia menemani lima orang anak-anak jagaannya ke sana, kalkulator, beg mekap, beberapa batang lolipop dan beberapa bungkusan gula-gula yang memang dibawanya ke mana-mana.

“Tapi, eh, mana aku punya....?”tiba-tiba BlackBerrynya berdering. Dia mengambilnya dengan pantas, tidak berfikir pun hendak memandang nama pemanggil dahulu, kerana dia sudah menjangka.

“Hai,”suara di sebelah sana menyapa. Jangkaannya tepat. Tuan Ayden.

“Hello, Tuan Ayden,”Lilika bergerak ke sofa yang berada jauh sedikit daripada katilnya, dan lebih dekat dengan kawasan tepi tingkap. Matanya terarah pada pintu, tidak tahu kenapa dia lebih selesa mengetahui pintu itu tertutup. Biar dia berasa selesa mengetahui yang dia keseorangan di dalam bilik itu.

“Skydiving?”Tuan Ayden kedengaran kagum dengan pencapaiannya setakat ini. Melakukan aktiviti itu memerlukan keberanian yang bukan sedikit, dan dia telah berjaya melakukannya. Tiba-tiba berasa bangga dengan diri sendiri. “Awak tak tangkap gambar kat atas sana?”

“Saya takda kamera,”

“Tapi, Amin ada,”

“Saya malulah nak mintak dengan dia, lagipun saya rasa orang yang terjun sekali dengan saya tu, dia ada kamera, sebab benda tu macam melekat kat topi dia,”

“Bagus, awak marah kat Sadeeki?”

“Kenapa?”

“Sebab dia tak terjun?”Lilika tergelak kecil.

“Saya dah marah dia, tapi...”kedua-duanya terdiam. Lilika mengumpul kekuatan untuk bertanya pada Tuan Ayden tentang mesej yang dihantarnya petang tadi. “Sebut tentang tu, awak marah ke kat saya, at least, lagi?”

“Marah?”Tuan Ayden mendiamkan diri. Kadang-kadang Lilika dapat mendengar dia mengeluh kecil, tetapi Lilika tidak pasti sama ada dia mahu mempercayai telinganya sendiri atau tidak.

“Tak, sebab tadi....”Lilika meraup wajahnya. Dia tidak sangka dia sendiri yang membangkitkan soal ini. Sepatutnya dia diam-diam sahaja apabila mengetahui yang Tuan Ayden tidak menimbulkan soal itu di dalam perbualan langsung mereka. Sepatutnya dia mendiamkan diri sahaja daripada bertanya bukan-bukan. “Saya rasa..awak marah dengan saya, sebab saya nak jumpa awak,”

Okey, memanglah aku ni mulut tempayan, sekarang aku dah bubuh minyak petrol lagi kat api dia sampai dia dah diam sangat ni, taknak bercakap. Kalaulah aku diam-diam je. Mesti dah okey dah. Takdalah jadi awkward sangat ni. Padan muka Lily. Pandai sangat, sape suruh?

“Tuan Ayden?”risau juga apabila Tuan Ayden tidak memberikan sebarang respons. Dia masih mendiamkan diri sejak tadi, dan Lilika sudah berpeluh-peluh, memikirkan yang dia telah menyalakan api kemarahan Tuan Ayden – jika boleh dipanggil begitu.

“Amin dan Sadeeki tak bagitau awak kenapa saya tak suka jumpa dengan orang?”tersirap darah Lilika mendengarnya. Tak suka jumpa orang? Tak suka jumpa dia?

“Tak, diorang tak bagitau,”Lilika mencuba sedaya upaya untuk tidak bertanya lebih lanjut. Tetapi...”Kenapa?”

Diam.

“Amin dan Sadeeki adalah antara yang terbaik dalam semua staf saya, saya dah beritahu mereka kenapa, tetapi, saya tak pasti saya akan beritahu awak atau tak,”Lilika kecewa, tetapi sekurang-kurangnya dia tidak dimarahi kerana sentiasa bertanya. “Assalamualaikum,”talian itu terus terputus, membuatkan Lilika tergamam.

Itu je?

Perbualan paling singkat, masanya kurang daripada sepuluh minit, dan dia tidak sempat pun bercerita saat-saat dia berada di atas sana, dan ketika dia terjun, ataupun sekurang-kurangnya ketika dia mendarat. Dia tidak sempat memberitahu Tuan Ayden apa-apa.

Lilika sangat-sangat pasti yang Tuan Ayden sedang kecewa dengan dirinya, walaupun dia tidak tahu kenapa, dan dia tidak mahu tahu. Dia mengundang bala ini dengan sendirinya, dia buntu juga untuk mengusirnya semula. Dia tidak pernah mengenali Tuan Ayden, walaupun dia sangat-sangat yakin yang Tuan Ayden adalah seorang yang baik.

“Wa...wa’alaikumussalam,”

Dia meletakkan BlackBerrynya ke atas meja kecil, dan beredar ke bilik air.

 

  • Skydived....

 

 

Lilika turun ke bahagian lobi hotel malam itu. Dia tidak berniat untuk tinggal di dalam bilik hotelnya. Dia tidak memberitahu Amin atau Sadeeki pun yang dia akan keluar berjalan-jalan di luar. Malam itu, dia hanya mahu bersendiri, menikmati angin malam di luar hotel di Zurich. Dia hanya membawa beg galasnya, dan BlackBerry di dalam poket seluarnya. Dia menapak keluar.

Ketika itu baru pukul 8 malam. Masih lagi nampak sibuk di luar, di restoran mewah, di mana masih ada orang menikmati makan malam mereka. Beberapa orang masih ada di dalam kedai buku yang masih dibuka, dan mereka masih lagi sibuk dengan membelek beberapa buah buku sekaligus. Ada seorang wanita di dalam kedai buku itu bersama anak perempuannya yang bertindik di pusat, sedang bertengkar. Si ibu menghulurkan sebuah buku, agak tebal, dan berkulit keras, tetapi ditolak oleh anaknya. Akhinya anak perempuannya itu keluar, terus meninggalkan ibunya keseorangan di dalam kedai buku itu. Lilika menelan liur. Pertama kali dia melihat seorang anak sekasar dan sebiadap itu.

Dia berjalan lagi, melintasi sebuah lagi restoran mewah, di mana cahaya lampu di dalam restoran itu sangat malap, sesuai untuk sebuah suasana romantik. Dia tidak dapat melihat jauh lebih dalam lagi, kerana ada sebuah pintu besar yang agak antik menghalang penglihatannya. Ada seorang penjaga pintu, memakai pakaian seragam berwarna merah hati. Kepalanya ditutup oleh topi yang nampak seperti penutup kepala kelasi kapal, tetapi berwarna hitam. Penjaga pintu itu terlihatnya, dan atas dasar intuisi, dia tersenyum, dan lelaki itu tersenyum kembali. Nampak sangat dia bosan dengan tugasnya, tetapi, untuk menyara hidupnya sendiri,dia terpaksa melakukannya. Lilika berjalan lagi ke hadapan. Kedua-dua tangannya berada di dalam poket jaket yang dipakainya, melapisi baju t-shirt berlengan pendek berwarna pic di dalamnya.

Cuaca menjadi semakin sejuk sekarang. Dia mendongak, tidak dapat melihat mana-mana bintang yang ada di atas sana. Dia menggigit bibir. Selalunya dia dapat melihat banyak bintang di tempatnya. Dia sentiasa mengajarkan anak-anak jagaannya tentang buruj, sesuatu yang dipelajarinya ketika dalam darjah enam. Mereka akan mendengar sahaja, dan cuba juga mencari, dan mereka akan ketawa bersama, apabila berjaya mencipta buruj baru di angkasa.

Lilika mengedipkan matanya. Dia terasa sebak, teringatkan rumah yang berada berbatu-batu jauhnya. Dan, dia berada di sini, meninggalkan mereka berlima di rumah, diganti pembantu lain yang entah lebih baik daripadanya atau tidak. Dia terasa matanya berair, tetapi dia cuba untuk tidak melayan lagi perasaannya itu.

Benarlah cakap orang sebelum ini. Jangan berasa suka sangat, selepas itu, awak akan merasa kesedihan yang amat sangat.

Dia menggigit bibir bawahnya. Menggelengkan kepalanya, mencuba untuk menghilangkan perasaan yang berlabuh di dalam hatinya saat itu. Kakinya semakin perlahan melangkah, membiarkan Lilika mengambil masanya lebih lama di luar. Melayan perasaannya, tanpa ada sesiapa yang mengetahui.

Dia melalui sebuah lorong. Lorong itu agak gelap, tetapi ada cahaya yang agak malap di hujungnya. Beberapa orang sedang berparti di situ. Dia melajukan langkah. Kecut pula dia berada di situ. Dia menemui sebuah kerusi tidak jauh dari situ, berada di sebuah kedai runcit, yang dimiliki oleh orang Asia. Dia melabuhkan punggungnya di situ. Menunggu beberapa lama, sambil memerhatikan beberapa orang yang melalui jalan di hadapan kedai runcit itu. Sudah tidak banyak kereta ketika itu. Agaknya semua sudah pulang ke rumah.

Lilika mengeluarkan BlackBerrynya.

Oh. Baterinya mati. Dia terlupa hendak mengecasnya pagi tadi. Dia sudah menyangka yang baterinya akan habis untuk beberapa jam lagi, mungkin selepas dia bercakap-cakap dengan Tuan Ayden tadi ketika telefon bimbitnya itu mati.

Lilika mengutuk dirinya sendiri, sambil memaki hamun pada udara sekelilingnya. Biarlah, orang tidak mengenalinya pun. Lilika bangun dari kerusinya, sudah mahu pulang.

Tiba-tiba saat itu dia terpandang seekor anjing berada tepat di hadapannya. Anjing itu kecil sahaja. Macam Chihuahua yang selalu ditontonnya di dalam televisyen. Tetapi, bezanya, anjing itu nampak garang dan tidak mesra langsung.

Lilika mahu menapak pergi. Anjing itu menyalak. Lilika melompat. Terkejut. Dia memandang anjing itu, dan anjing itu menatapnya dengan garang.

Comments

Comments are moderated. Keep it cool. Critical is fine, but if you're rude to one another (or to us), we'll delete your stuff. Have fun and thanks for joining the conversation!

You must be logged in to comment.

Angel110  on says:
Will you translate it?
I'm a big big fan of tokio hotel (since their debut!9 and I want to read it!

DiamondPop  on says:
Does this come in English?
I'm curious to read it

amusuk  on says about chapter 1:
Wow, it's a good writing!
I'm surprised at first when i read "the bucket list" bcz from what i know, it's a list of dreams of a dying person.
But, i can't wait to see Lilika on her journey! I'm curious!

Keep writing, dear author!

NB: Sorry, sy ga lancar cakap bhs melayu, jd sy pake english j, ok? *fail malay

Log in to view all comments and replies


^ Back to Top