Staying Alive

by ryalanidthoniel
Tags   originalcharacter   tokiohotel   bahasamelayu   | Report Content

A A A A

“Waaahhh...!!!!”Lilika berasa sungguh teruja apabila dia menuruni kapal terbang, tiba di bumi New Zealand. Dia tidak pernah keluar negara. Walaupun ke Indonesia, atau Singapura. Secara tepatnya, dia tidak pernah keluar melancong. Badan pengurusan Rosbiru yang didudukinya tidak ada sumber kewangan yang cukup untuk membiayainya. Jika dia mahu, dia boleh mengumpul duit sendiri, tetapi, dengan kerjanya sekarang sebagai penjaga kepada anak-anak baru di Rosbiru itu, dia tidak mungkin dapat mengumpulkan wang yang secukupnya untuk melancong ke luar negara.

Amin dan Sadeeki mengekori Lilika dari sisinya. Sadeeki berada di belakang mereka berdua, di mana Amin berjalan di sebelah Lilika. Lilika begitu teruja sekali, pertama kali menaiki kapal terbang, walaupun pada awal dia naik, dan ketika ada rintangan udara tadi, dia termuntah – Amin tidak dapat menghalang dirinya dari terus tersenyum.

“Hai,”seorang lelaki rakyat New Zealand, berambut coklat, dan bermata biru menyapa Amin. Mereka berjabat tangan. Amin bercakap dengannya menggunakan bahasa Inggeris yang fasih, dan lelaki itu membawa mereka menaiki kereta yang telah lama disediakan.

Limosin.

Lilika memandang Sadeeki untuk penjelasan, namun Sadeeki tidak memberikan apa-apa jawapan, melainkan memegang belakang bahunya dan mengiringnya masuk ke dalam perut kereta panjang itu.

“Selepas ni, kita akan berhenti di hotel, settle down, dan  bila matahari terbit esok pagi, kita akan terus ke Queenstown,”

Queenstown.

Nama itu menjadikan Lilika terasa seram sejuk. Bukan kerana takut, tetapi terasa teruja, kerana impian pertamanya di dalam senarai itu akan terlaksana.

Bungee jumping.

Ah...bahagianya. kenapalah aku tak jumpa pakcik ni awal-awal? Eh, tapi, pelik gak, orang macam dia tak kena marah ke bila aku panggil dia pakcik? Selalunya orang yang macam dia, yang dah ke luar negara, dah terer speaking English, mestilah dah berlagak semacam, taknak panggil pakcik, panggil uncle. Huhu.

“Kenapa tengok saya macam tu?”Amin menyedari mata Lilika terarah padanya. Sadeeki asyik membaca buku, dia tidak mengendahkan percakapan dua orang lagi. “Little one?”

“Oh?”Lilika malu sendiri. Tidak perasan pula dia telah melampaui batas. Tetapi, apa salahnya mengagumi seseorang?

“Kalau takda apa-apa, saya rasa kamu patut berehat saja,”cadang Amin. Lilika mengangguk. Dia bersandar pada kusyen. Sadeeki berada di sebelahnya, Amin berada di hadapan mereka berdua. Dia tidak nampak terganggu langsung dengan perjalanan udara yang agak lama. Lilika terasa sakit pinggang sedikit kerana dia tidak banyak bergerak di dalam kapal terbang. Sadeeki pula nampak biasa sahaja. Dia orang muda, rasanya tidak melebihi umur 30 lagi, dan dia sangat tinggi. Lilika merasakan tingginya sedikit lagi akan mencapai 2 meter. Dua kali ganda dirinya. Kulitnya agak gelap, seperti orang Afrika-Amerika. Tetapi, pandangan matanya baik sekali. Tangannya agak besar, ketara sekali berbanding Amin dan dia. Amin sangat kurus. Wajahnya kadang-kadang terlihat berwarna kuning berbanding pucat. Lilika tidak dapat mengagak bila mana dia akan dapat melihat warna sebenar Amin.

 

Lilika masuk ke dalam bilik hotelnya. Pertama kali dalam usianya 19 tahun. Pertama kali juga memasuki hotel berprestij begini, dia tidak pernah menjejakkan kaki ke hotel lima bintang begini, hanya beberapa hotel yang berbintang tidak sampai empat, hanya semata-mata untuk menerima beberapa derma daripada beberapa syarikat atau firma untuk Rosbiru. Dia ada juga membawa anak-anak berusia sekolah rendah untuk datang menjamu selera jika dijemput. Jika tidak, jangan harap.

Amin berdiri di hadapan pintu biliknya.

“Pertama kali?”Lilika mengangguk dengan tidak teragak-agak. Amin ketawa kecil, Lilika perasan yang Amin sangat mudah dibawa berbual. Tambahan pula, dia nampak sporting, walaupun tidak dinafikan ayat-ayat yang keluar dari mulutnya agak tersusun, seperti bercakap dengan seorang raja.

Tiba-tiba Lilika terfikir jika dahulu Amin pernah berkhidmat sebagai pelayan raja atau sebagainya.

“Pertama kali dalam segala-galanya hari ni,”ujar Lilika. Amin mengangguk. “Terima kasih,”

“Jangan berterima kasih pada saya, berterima kasihlah pada tuan,”Lilika mengangguk. Dia tidak pernah mengenali ‘tuan’. Dia tidak pernah bertemu, dia tidak pernah mengenalinya. Dia ada bertanya Sadeeki tentang dia di dalam kapal terbang, namun lelaki itu enggan menjawab soalannya. Amin ada memberikan satu pandangan, dan Sadeeki tidak memandang ke arahnya lagi. Lilika tertanya-tanya, siapakah ‘tuan’ itu. Malahan, dia tidak pernah mendengar suaranya.

“Tapi, saya tak tahu apa nak cakap dengan dia, bila saya call nanti,”

“Tuan akan call kamu,”Amin membetulkan kata-kata Lilika. Lilika menekup mulutnya. “Saya akan pulang ke bilik saya, kamu rehatlah, kalau ada apa-apa, kamu boleh carik saya kat bilik sebelah,”Lilika mengangguk, Amin menundukkan kepalanya, dan berlalu. Sadeeki sudah tidak kelihatan.

Lilika baring ke atas katil. Memandang siling yang kosong. Dia masih terasa penat dengan perjalanan pada hari itu. Benarlah kata Amin, dia perlukan rehat yang cukup, untuk esok hari.

 

Sadeeki yang memandu hari itu, walaupun dia baru sahaja di bumi itu. Amin, Lilika dan lelaki semalam berada di bahagian belakang. Mereka menaiki kereta pacuan empat roda, memandangkan kawasan yang akan dikunjungi mereka itu agak dalam sedikit, iaitu di Kawarau Bridge Bungy. Hati Lilika berdebar-debar dalam perjalanan itu, sudah mahu keluar dari tubuhnya sendiri. Amin tidak bercakap banyak, dan lelaki itu pun sama. Lilika merasakan payah untuk dia kekal diam di tempat duduknya. Dia biasa bercakap banyak, lebih-lebih lagi jika dia dibenarkan menghabiskan masa bersama kanak-kanak prasekolah sebelum mereka tidur. Membacakan buku cerita pada mereka merupakan masanya yang paling berharga.

Ah, siapa yang bacakan buku cerita pada diorang malam tadi bila aku takda?

Lilika melemparkan pandangannya ke luar tingkap. Pandangan New Zealand sangat berbeza dengan apa yang selalu dilihatnya berdekatan dengan Rosbiru. Dia kagum dengan cuacanya, kagum dengan landskapnya. Kagum dengan segala-galanya. Perjalanan itu tidak terasa terhentak-hentak jika dilihat melalui jalannya yang agak berliku-liku dan berbonggol-bonggol.

Amin sedang memeriksa sesuatu menggunakan BlackBerrynya sendiri. Kadang-kadang dia ada menaip sesuatu ke dalamnya, dan meletakkannya di atas riba, sebelum mengambilnya semula, menaip lagi lebih kurang dua minit selepas itu. Lelaki itu hanya diam di tempatnya, tidak bermain dengan telefon bimbit, atau membaca buku. Wajah lelaki itu tidak menunjukkan sebarang emosi, sama seperti Amin.

“We’re here,”lelaki itu keluar dahulu, diikuti oleh Amin. Lilika mengeras sebentar sebelum dia melangkah keluar.

Betul ke aku nak buat benda ni?

“Come on,”lelaki itu mengajak, kali ini Lilika nampak lagi lelaki itu tersenyum. Lilika membalasnya, dan dia melangkah keluar. Selepas memastikan semua penumpangnya sudah turun, Sadeeki menutup pintu di belakang Lilika. Lilika berpaling, hanya untuk melihat Sadeeki tersenyum pada Amin. Lilika tersenyum sendiri, memikirkan yang senyuman Sadeeki menampakkan barisan giginya yang cantik tersusun dan sangat putih. Benar, sangat-sangat putih. Lebih putih daripada mutiara.

Lilika diapit Sadeeki dan Amin untuk ke platform bungee jumping yang akan dijalankannya nanti. Dia agak gayat, namun tidak ramai yang mengetahuinya. Amin tidak mengetahui hal itu, jadi begitu jugalah dengan Sadeeki. Mereka tidak perlu tahu. Lilika menelan liur, melihat sungai yang berada di bawahnya.

Sangat-sangat jauh, dan dia tahu dia berada lebih kurang beratus meter dari tanah di bawahnya. Beberapa orang telah menyusun peralatan-peralatan untuk melompat, mereka kadang-kadang mencuri pandang Lilika dan bercakap sesama sendiri. Lilika memandang Sadeeki, mencari kekuatan di situ.

“Awak boleh buat benda ni, Lily,”ujar Sadeeki, memberikan dorongan padanya. Lilika menggaru kepala. Dia pun tidak pasti sama ada dia mahu lakukannya atau tidak. Tiba-tiba dia berasa ragu-ragu. “Jangan risau,”Sadeeki berbisik padanya. Lilika mengangguk. Rupanya Sadeeki ini seorang yang agak ceria dan positif, kerana dia banyak kali melihat ke arah orang-orang yang ada di situ, dan akan meyakinkan Lilika selepasnya.

“Tinggi ni,”Lilika perasan suaranya agak menggigil. Dia takut hendak memandang bawah pun, tetapi terpaksa. Dia akan melompat selepas ini.

Amin bercakap-cakap dengan beberapa kakitangan, semuanya nampak sangat menghormati Amin, kerana mereka tersenyum, dan mengangguk beberapa kali apabila Amin bercakap tentang apa sahaja yang nantinya akan diberitahu kepada Lilika. Lilika memegang hujung baju Sadeeki yang berdiri di sebelahnya.

“Come, girl, no worries,”Sadeeki mengusap kepala Lilika. Lilika mengangguk-angguk.

Kakitangan itu memasangkan harness pada tubuh Lilika, sebelum mereka memasangkan ikatan pada buku lali Lilika. Ketika itu, Lilika memang terasa hendak melompat dan melarikan diri, tidak mahu melakukan bungee jumping itu. Jantungnya sudah bergerak paling laju dalam sejarah hidupnya.

“Are you ready?”Lilika memandang Amin, dan Sadeeki di sebelahnya. Sadeeki sedang berpeluk tubuh, di dalam tangan Amin masih ada BlackBerrynya.

“Yeah,”Lilika memandang bawah. Dia sudah berada di atas platform untuk melompat. Di hujung tapaknya, satu tapak lagi untuk dia terjatuh, dan....

“Are you okay? You look pale,”kakitangan itu bertanya. Lilika memegang wajahnya, dia mengangguk. “Come on, this is really fun, I’ve done this like hundred times,”kakitangan itu cuba hendak menenangkannya. Lilika perasan, mujurlah lelaki itu kacak!

Tetapi, dia masih takut, dan gayat.

“Is this the real position to jump?”tanya Lilika. Dia terasa mahu menampar diri sendiri kerana bertanya soalan yang bodoh begitu. Kakitangan itu mengangguk, sambil tersenyum. Lilika terpesona sebentar, terlupa yang dia sebenarnya hendak melompat.

Oh, tolong aku, Ya Allah!!

Lilika menelan liur, apabila dia menghadap hadapan. Sudah tidak ada pijakan kayu untuknya. Hanya yang ada udara yang terbentang luas di hadapannya. Menunggunya di bawah adalah bahagian bumi yang bersungai. Sungai yang cantik, biru kehijau-hijauan.

By hook or by crook. I need to do this.

“Bismillahirrahmanirrahim...”Lilika memandang kakitangan itu, dan dia mengangguk sekali. “Saya akan lompat ni, Amin, Sadeeki!”

“Go on!!”Sadeeki memberi sokongan sambil mengangkat tangan kanannya.

Lilika mengambil setapak ke belakang. Dia merasakan kakitangan kacak itu dekat dengannya. Dia berlari, dan.....

“AAHHH!!!!!”Lilika merasakan badannya melayang. Berada di udara, tubuhnya melonjak ke udara, tidak menunggu lama untuk jatuh ke bawah, semakin lama semakin laju, dan semakin kuat Lilika menjerit.

Oh.....tolong aku!!!

Terjunan ke bawah itu, membuatkan Lilika memejamkan matanya. Namun, dia mampu membuka matanya semula apabila terasa tubuhnya semakin bergerak perlahan ke bawah. Dia semakin dekat dengan sungai yang berada di bawah. Semakin lama dia melihat warna sungai itu agak berubah berbanding ketika dilihat jauh dari atas. Dia tidak dapat mendengar apa-apa ketika itu, hanya deruan angin menghentam gegendang telinganya.

Dia malah terlupa hendak bernafas rasanya ketika itu.

Hanya beberapa kaki sahaja sungai itu dekat dengan kepalanya, apabila dia merasakan tali itu tersekat, dan dia bagaikan melantun semula ke atas. Tangannya yang berada di sisi, tiba-tiba sahaja melayang, dan dia dapat menyentuh air sungai itu, secara tidak sedar dan tidak sengaja. Lilika ditarik semula naik ke atas.

 

“Seronok?”

Lilika kehilangan kata-kata. Amin dan Sadeeki berpandangan sebelum Sadeeki meletakkan tangannya ke bahu Lilika yang telah selamat berada di atas semula. Sadeeki tersenyum padanya.

“I’m proud of you girl,”itu kata-katanya ketika itu. Sadeeki dan Amin menemaninya duduk berdekatan dengan platform itu, menunggu Lilika meraih semangatnya untuk cuba mengumpul apa yang berlaku di sekelilingnya ketika itu. Wajahnya pucat, dan pada masa yang sama, wajahnya terasa panas. Perasaannya sukar digambarkan.

Seronok, takut, gembira, keliru, dan lain-lain.

Lilika tidak dapat menghalang dirinya dari memeluk Amin ketika dia naik ke atas platform tadi, selepas mereka menanggalkan alat-alat keselamatan pada dirinya.

 

Lilika baru sahaja selesai mandi, menggunakan tab mandi di dalam bilik air hotelnya. Sangat selesa, kerana berada di luar negara merupakan kali pertama dia menggunakan tab mandi untuk mandi. Bilik air di Rosbiru hanya menggunakan kolah air, dan airnya sangat sejuk, dan ketika mandi, dia terpaksa berkongsi bilik mandi itu dengan tujuh orang kanak-kanak sekolah rendah. Memanglah, selalunya dia yang akan memaksa mereka mandi untuk ke sekolah, jika tidak pun, dia akan menolong memandikan mereka.

Lilika sudah terasa rindu, namun perjalanan untuk semua impiannya masih jauh, dan dia tidak boleh terus berhenti. Ini impiannya dan sekaranglah masanya.

Dia memandang BlackBerry di atas meja kecil di sebelah katil bersaiz king itu. Langit di luar sudah gelap, malam sudah lama berlabuh.

Dia harus menelefon ‘tuan’. Amin telah berpesan padanya sejak mereka sampai di hotel itu selepas perjalanan dari Kawarau Bridge Bungy.

Dia memandang nama ‘Tuan Ayden’, yang sudah tersimpan siap di dalam telefon bimbit itu. Dia tidak pernah mendengar nama Ayden sebelum ini. Nombor itu adalah nombor peribadi, yang tidak boleh dideteksi oleh orang-orang biasa sepertinya.

Dia menekan butang hijau.

Ada tiga kali deringan sebelum diangkat.

“Hello,”ada suara menjawab. Suara seorang lelaki muda.

“Tuan...tuan Ayden?”Lilika teragak-agak mahu bersuara.

“Ya, saya,”suaranya kedengaran sangat sedap pada telinga Lilika, kerana dia teringatkan suara lelaki 20-an yang kacak. Bayangannya sahaja, tidak semestinya benar.

“Ini, ini saya, Lily, Lilika,”Lilika menelan liur. Dadanya berdebar-debar.

“Ya,”Tuan Ayden ketawa kecil. Lilika bergerak ke tepi tingkap. Memegang BlackBerry dekat dalam tangannya, seolah-olah takut terlepas dari pegangannya. “Saya dengar tentang awak dari Amin,”

“Ya, saya ada dengan pakcik Amin sekarang,”

“Awak panggil dia pakcik Amin?”kedengaran Tuan Ayden ketawa. Lilika pelik, tetapi tidak apalah. “Apa jadi hari ni?”

“Saya bungee jumping,”Lilika bersikap jujur, itu pesanan Amin kepadanya. Apa-apa sahaja yang ditanyakan Tuan Ayden, jawablah dengan benar. Dia akan dapat tahu dengan cepat jika ada apa-apa kebohongan sampai padanya.

“Apa jadi?”Tuan Ayden bertanya lagi. Lilika mati akal. Apa lagi?

“Err....seronok, takut, waktu naik atas platform tu rasa macam nak pitam pun ada, nak patah balik pun ada, nasib baiklah ada staf kat situ, memang patut pun kot ada kat situ, sebab bila diorang ada kat situ, saya jadi takut nak patah balik, takut kena marah pulak, jadi saya terjun jelah,”

“Seronok?”

“Best,”Lilika hanya mampu membuat kesimpulan itu. Selepas ini dia boleh meletakkan tanda di sebelah senarai itu.

“Hmm...”

“Pakcik Amin dengan Sadeeki ada kat tepi, diorang tengok je, sebab taknak terjun sekali, saya tak tahulah kenapa diorang tak terjun, sebab tulah agaknya saya takut sikit kot..sebab saya nak melompat sorang-sorang,”

“Awak panggil Sadeeki, Sadeeki je?”

“Ya,”

“Kenapa awak tak panggil dia pakcik?”

“Dia nampak muda,”alasan Lilika. Tipikal. Sekali lagi Tuan Ayden ketawa. “Dia muda, kan?”

“Dia dah lebih 40,”

“Wow.”Lilika tidak tahu reaksi apa lagi harus diberikan. 40? Tetapi, dia nampak tidak sampai 30. Awet muda? Apa yang dia makan? Atau apa yang dia buat?

“Mereke bekerja dengan saya sejak saya mula warisi apa yang datuk saya ada,”Tuan Ayden bercerita. “Saya kenal mereka hampir sepuluh tahun sekarang,”

“Umur awak?”aduh, capul jugak mulut aku ni!

“Tak lama awak akan tahu,”Tuan Ayden berkata. Tiba-tiba Lilika dapat merasakan ada aura serius keluar dari corong telefon.

“Oh, maaflah kalau soalan tu tak sepatutnya saya tanya,”

“Takda apa, kalau takda apa-apa lagi, saya harap kita boleh bercakap lagi lain hari,”

“Lain hari?”

“Amin tak beritahu yang awak kena beritahu saya, macam melapor setiap kali kamu dah tunaikan impian awak?”

“Awak yang tunaikan impian saya, menjadikannya kenyataan,”

“Jangan cakap lagi, semua tu bukan khazanah untuk saya simpan pun,”Lilika terdiam. “Telefon saya setiap kali kamu tunaikan impian awak, saya mahu dengar details, faham?”

“Ya, saya rasa saya faham,”Lilika menunduk, seolah-olah Tuan Ayden berada di hadapannya. Bercakap muka bertemu muka dengannya. Tetapi, sebenarnya dia sendiri tidak tahu Tuan Ayden berada di mana. Dia tidak pernah melihat mukanya. Dia tidak pernah kenal siapa lelaki itu. Tua atau muda? Mungkinkah dia lebih muda dari Amin, atau mungkin Sadeeki? Atau mungkinkah dia lebih tua daripada Amin sendiri?

Lilika meletakkan BlackBerry di atas katilnya. Talian telah terputus, namun hatinya masih berdebar-debar sama seperti ketika dia sedang berbual lagi dengannya.

Siapa dia? Suara dia macam familiar, tapi, aku tak dapat ingat sangatlah. Yelah, aku sekolah pun sampai form five je, tapi tak cukup duit nak sambung study. Pastu tak boleh dapat scholarship lak tu. Aduh. Memang nasib aku ni agak lain sikitlah banding orang lain. Tapi, nak buat macam mana. Dah nasib badan...

Lilika mengakui yang otaknya agak cair berbanding sahabat-sahabatnya yang lain di sekolah, tetapi dia memiliki satu komitmen yang menyebabkan dia tidak boleh mengikut jejak langkah mereka. Dia tidak mampu meninggalkan Rosbiru untuk bertahun-tahun. Lagipun, siapa yang akan membiayai perbelanjaannya di luar?

Dia tertidur, tanpa mengetahui apa lagi yang menantinya selepas ini esok hari?

 

  • Bungee jumping!!

Comments

Comments are moderated. Keep it cool. Critical is fine, but if you're rude to one another (or to us), we'll delete your stuff. Have fun and thanks for joining the conversation!

You must be logged in to comment.

Angel110  on says:
Will you translate it?
I'm a big big fan of tokio hotel (since their debut!9 and I want to read it!

DiamondPop  on says:
Does this come in English?
I'm curious to read it

amusuk  on says about chapter 1:
Wow, it's a good writing!
I'm surprised at first when i read "the bucket list" bcz from what i know, it's a list of dreams of a dying person.
But, i can't wait to see Lilika on her journey! I'm curious!

Keep writing, dear author!

NB: Sorry, sy ga lancar cakap bhs melayu, jd sy pake english j, ok? *fail malay

Log in to view all comments and replies


^ Back to Top